Bayi Comel Sihat Ceria
481 subscribers
1.69K photos
26 videos
20 files
96 links
Perkongsian resepi pemakanan bayi
Download Telegram
*BILAKAH SEPATUTNYA SAYA MEMBAWA ANAK SAYA BERJUMPA DOKTOR GIGI?*

Kebanyakan ibu bapa yang prihatin sering bertanyakan soalan ini.

Ada sebilangan ibu bapa yang kurang pasti bilakah sebenarnya waktu yang paling sesuai untuk membawa anak mereka pergi ke klinik bagi mendapatkan pemeriksaan gigi.

Antara alasan yang sering diberikan oleh sebahagian ibu bapa yang merasakan mereka tidak perlu membawa bayi mereka ke klinik gigi lagi adalah:

1️⃣ Gigi anak mereka belum tumbuh sepenuhnya.

2️⃣ Bimbang anak mereka akan menangis ketika diperiksa kerana masih kecil.

Masa yang ideal bagi lawatan pergigian pertama anak anda ke klinik gigi sepatutnya dilakukan ketika gigi pertama mereka tumbuh iaitu ketika usia anak sekitar 6 bulan.

Biasanya bagi kebanyakan kanak-kanak ketika berumur 6 bulan, gigi pertama mereka sudah mulai tumbuh.

Dalam tempoh ini, doktor gigi dan juruterapi pergigian akan:

1️⃣ Memeriksa keadaan gigi dan mulut secara keseluruhan bagi mengenalpasti sebarang keadaan yang tidak normal (jika ada) di peringkat awal.

2️⃣ Mengajar anda teknik yang betul untuk membersihkan gigi anak anda dan juga perkara-perkara lain yang anda perlu lakukan di rumah untuk menjaga kesihatan gigi anak anda secara keseluruhan. Langkah ini sangat penting kerana inilah langkah pencegahan yang paling mudah dan paling berkesan untuk mencegah terjadinya kerosakan gigi anak anda. Gigi perlu dijaga sebaik mungkin sejak ia mulai tumbuh agar kerosakan tidak mudah terjadi.

3️⃣ Menilai sekiranya ada tabiat negatif seperti minum susu dalam botol serta membiarkan anak tertidur dengan botol susu, menghisap ibu jari dan juga puting kosong. Tabiat ini jika dilakukan oleh anak anda perlu dikesan sejak awal agar langkah bagi memberhentikan tabiat ini boleh dilakukan secara berperingkat bagi mengurangkan risiko terjadinya kerosakan gigi serta gangguan susunan gigi anak anda kelak.

Untuk pengetahuan semua, setiap bayi yang dilahirkan akan dibekalkan bersama dengan Buku Rekod Kesihatan Bayi Dan Kanak-Kanak iaitu buku berwarna biru untuk bayi lelaki dan buku berwarna merah jambu/pink untuk bayi perempuan (Rujuk gambar).

Jika anda merujuk kepada buku rekod tersebut, ada bahagian tertentu yang dikhususkan untuk pemeriksaan kesihatan pergigian iaitu pada halaman berikut:

1️⃣ Halaman 49-50 = Pemeriksaan pergigian untuk bayi ketika berumur 0-9 bulan.

2️⃣ Halaman 68-69 = Pemeriksaan pergigian untuk anak ketika berumur 10-23 bulan.

3️⃣ Halaman 80-81 = Pemeriksaan pergigian untuk anak ketika berumur 2-4 tahun.

Anda boleh menyemak di halaman-halaman tersebut pada buku rekod anak masing-masing bagi melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan cara penjagaan gigi yang betul terhadap anak-anak anda untuk anda amalkan di rumah.

Jadikan juga buku rekod tersebut sebagai “planner” atau peringatan buat anda agar tidak lupa untuk membawa mereka bagi mendapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala.

Adalah lebih baik untuk anda membawa anak kecil anda bagi mendapatkan pemeriksaan gigi seawal usia yang mungkin. Dan bawa juga anak anda untuk pemeriksaan gigi secara berkala setiap 6 bulan sekali. Jika lebih kerap adalah lebih baik lagi.

Langkah ini selain membolehkan doktor gigi memantau keadaan dan pertumbuhan gigi anak anda, juga dapat membiasakan diri anak anda dengan persekitaran klinik gigi. Hal ini secara tidak langsung dapat dijadikan latihan bagi mempersiapkan diri anak anda bagi menerima rawatan pergigian secara berkala apabila mereka besar kelak dan tidak lagi memberikan alasan “takut untuk berjumpa dengan doktor gigi”.

Oleh yang demikian buat ibu bapa sekalian, jika ada di kalangan anda yang masih belum membawa anak-anak anda ke klinik bagi mendapatkan pemeriksaan pergigian, lakukanlah mulai hari ini. Jangan bertangguh lagi dan membiarkan kesihatan pergigian anak anda terabai kerana ibu bapa yang baik ialah ibu bapa yang menjaga kesihatan anak mereka dengan baik termasuk hal-hal berkaitan kesihatan pergigian.

Semoga bermanfaat!

_~ Dr Mohd Khairul Izwan Bin Abdul Wahab ~_
_Pegawai Pergigian KKM_

#DakwahGigi
*TABIAT SUKA MENGHISAP JARI ATAU PUTING ANTARA PUNCA GIGI ANAK MENJADI JONGANG*

Kebanyakan anak kecil suka menghisap ibu jari atau puting kosong.

Tabiat ini menjadikan mereka selesa dan mudah untuk tertidur.

Kebanyakan ibu bapa juga menjadikan puting kosong sebagai alat untuk “memujuk” anak mereka ketika menangis.

Kebiasaan ini jika dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan kesan buruk kepada perkembangan rahang dan pertumbuhan gigi anak.

Masalah utama yang boleh terjadi akibat tabiat suka menghisap ibu jari dan puting kosong ini ialah gigi jongang.

Gigi jongang adalah suatu keadaan di mana gigi hadapan atas berada lebih jauh kehadapan berbanding kedudukan normal sehingga seolah-olah gigitan gigi hadapan terlihat seperti terbuka.

Dalam bahasa pergigian, keadaan ini disebut sebagai “open bite”.

Gigi jongang ini terjadi kerana jari atau puting kosong berada lama di dalam mulut sehingga gigi tumbuh mengikut bentuk jari atau puting tersebut.

Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa anda haruslah memantau keadaan ini jika anak kecil anda mempunyai tabiat suka menghisap ibu jari dan puting kosong.

Sebaiknya jika anak anda sudah mulai masuk usia 2 tahun, tabiat ini haruslah perlahan-lahan dihentikan agar apabila anak sudah menjejak usia 3 tahun, tabiat ini dapat dihentikan sepenuhnya.

Hal ini bagi mencegah anak terbawa-bawa tabiat ini sehingga gigi kekal mereka tumbuh.

Jangan lupa juga untuk membawa anak kecil anda ke klinik gigi secara rutin setiap 6 bulan sekali bagi membolehkan doktor gigi atau juruterapi pergigian memantau perkembangan serta pertumbuhan gigi anak anda seterusnya mengenalpasti masalah pergigian yang timbul di peringkat awal bagi membolehkan tindakan pencegahan serta rawatan awal dapat diberikan kepada anak anda.

Semoga bermanfaat!

~ Dr Mohd Khairul Izwan Bin Abdul Wahab ~
Pegawai Pergigian KKM

#DakwahGigi